Wednesday, June 24, 2009

PESAN

Pesan ayahandaku,
kau jagalah watan ini dari sebarang malapetaka
awasi dari kembali dijajah ia adalah hasil titis darah poyang moyang kita
sehingga ada yang gugur di medan perjuangan.

Pesan bondaku,
kau jagalah watan ini dengan baik
kelak anak-anakmu dapat hidup bersatu padu
faedahnya rukun damai, kemakmuran dan kesejahteraan.

Pesan mursyidku,
kau jagalah watan ini walau nyawa jadi taruhan
jangan sesekali abai mengabdi kepada-Nya
kerana hanya Dia sahaja Penunjuk Jalan.

Terkadang aku terkeliru, pesan mana mahu didahulukan
lalu dalam sujud kumohon ketetapan, lantas aku bertekad
menegakkan syariat, mempertahankan watan
demi memelihara warisan keturunan.

Pesan keramat
terus kuhebah ke setiap telinga yang mendengar
seperti ucap sabda Baginda yang berpindah dari mulut para Sahabat
siapa lagi kalau bukan anak-anak kita silih berganti ke akhir zaman.


Putera-Anak Melayu
Sungai Petani
22 Mei 2009

No comments:

Post a Comment