Wednesday, June 24, 2009

PESAN

Pesan ayahandaku,
kau jagalah watan ini dari sebarang malapetaka
awasi dari kembali dijajah ia adalah hasil titis darah poyang moyang kita
sehingga ada yang gugur di medan perjuangan.

Pesan bondaku,
kau jagalah watan ini dengan baik
kelak anak-anakmu dapat hidup bersatu padu
faedahnya rukun damai, kemakmuran dan kesejahteraan.

Pesan mursyidku,
kau jagalah watan ini walau nyawa jadi taruhan
jangan sesekali abai mengabdi kepada-Nya
kerana hanya Dia sahaja Penunjuk Jalan.

Terkadang aku terkeliru, pesan mana mahu didahulukan
lalu dalam sujud kumohon ketetapan, lantas aku bertekad
menegakkan syariat, mempertahankan watan
demi memelihara warisan keturunan.

Pesan keramat
terus kuhebah ke setiap telinga yang mendengar
seperti ucap sabda Baginda yang berpindah dari mulut para Sahabat
siapa lagi kalau bukan anak-anak kita silih berganti ke akhir zaman.


Putera-Anak Melayu
Sungai Petani
22 Mei 2009
KUNYIT DAN KAPUR



Kunyit berkata hei kapur kau bukan dari kalangan aku
Kapur pula membalas hoi kunyit kau juga bukan dari kalanganku
Maka berseterulah kunyit dan kapur

Kunyit dan kapur,
sesungguhnya kamu berdua adalah pelengkap kepada hidup kami
tanpa satu daripada kamu maka tidak sempurnalah hidup kami

Kunyit kau perlu ketika kami di dapur
selepas menjamu selera kapur pula menjadi
penyedap bila dipertemukan dengan sireh dan pinang

Kapur, kau juga bersama sireh dan pinang merupakan kekuatan kepada bangsa dan merupakan lambang kepada kesatuan antara lelaki dan perempuan ditatkala majlis peminangan dan walimatulurus antara kami

Kunyit dan kapur,
kamu berdua mungkin tidak dapat bersatu
kerana jati diri yang tebal diantara kamu berdua
tetapi sedarlah kunyit dan kapur kamu adalah pelengkap antara satu sama lain dan kami amat perlukan kehadiran kunyit dan kapur

Kunyit dan kapur
walaupun kamu berdua tidak dapat bercampur tetapi renungkanlah mudaratnya jika kamu berdua terus-terusan begini yang akhirnya merosakkan nusa dan bangsa

Kunyit dan kapur
demi kelangsungan ukwah dan rasatulrahim, sudi apalah kiranya kamu berdua duduk seiringan demi mempertahankan maruah kita bersama.



Putera-Anak Melayu
Sungai Petani
21 Mei 2009
POHON RENDANG

Pohon rendang itu pernah menjadi tempat berteduh penduduk kampung.
Mereka seringkali dilihat menyapu daun-daun, membajainya dan menghias Pohon itu supaya kelihatan indah, sentiasa cantik serta elok dipandang.
Pohon itu menjadi mercu tanda kampung dan kami amat bangga dengannya.

Pabila hujan, panas dan kemarau melanda malah ketika ribut sekalipun Pohon itu mampu menjadi tempat berlindung. Ia kelihatan cukup teguh dan ampuh.
Buahnya pula apabila masak amat sedap dimakan dan semua penduduk kampung boleh merasai kemanisan dan keenakan buahnya.

Kini Pohon rendang itu masih disitu, tetapi ia tidak seperti dulu lagi.
Walaupun masih berbuah tetapi buahnya bukan lagi untuk semua. Amat sukar untuk bersama merasai kemanisan buahnya. Kadang kala belum sempat masak buahnya telah hilang dirampas oleh orang yang mengaku Pohon itu miliknya.

Jika dahulu anak-anak kecil, pemuda dan pemudi, orang dewasa atau tua kerap dilihat duduk dan berteduh di bawah Pohon itu. Pada mereka Pohon itu sebagai kediaman kedua. Tetapi kini tiada lagi keriuhan anak-anak kecil, pemuda dan pemudi berteduh di bawah Pohon, ia semakin asing dan kini menjadi kawasan larangan dan hanya orang tertentu sahaja yang boleh berteduh di bawahnya.

Kulihat seorang tua sedang memerhatikan Pohon itu dari jauh. Di kelopak matanya ada air jernih menitis perlahan. Dalam sedih sendu itu kulihat dia tersenyum sendiri, mungkin terkenang masa muda ketika dahulu, dia juga pernah berteduh di bawah Pohon itu. Atau, mungkin terkenang kawan-kawan yang sama-sama membajai Pohon itu waktu dahulu, kini telah tiada lagi.

Sedang aku memerhatinya, dia menoleh kepadaku seraya berkata, ?anak ku, kau lihat Pohon rendang itu tetap berbuah lebat, daunnya tetap rendang seperti dahulu tetapi kini akar dan tunjangnya semakin reput kerana tiada lagi dibajai dengan kasih dan sayang sesama bangsa, penduduk kampung lebih pentingkan kaum keluarga sendiri dan mengejar harta dari kesejahteraan bangsa.

Mereka tidak lagi menghayati asal usul kewujudan Pohon itu. Anak ku, satu hari nanti jika kau dan generasi mu tidak menjagainya dari sekarang, tidakkah kau sedar akan hal itu tidak mustahil Pohon itu akan tumbang

Aku terdiam. Jauh di lubuk hati, aku bersuara dalam harap, wahai bangsaku, bangunlah dari lamunan dan teruskan perjuangan sebagaimana yang dihasratkan oleh datuk nenek kita demi memartabatkan, alif, ba, ta..


Putera-Anak Melayu
Sungai Petani
11 Mei 2009